ISKANDAR PUTERI: Bangkai helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah, di sini minggu lalu lalu dijangka akan diapungkan esok.
Proses pengapungan bangkai helikopter itu dijangka dimulakan pada pukul 8 pagi.
Tinjauan di lokasi nahas mendapati pasukan Penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan PDRM giat melakukan persiapan untuk melakukan operasi penyelaman untuk proses pengapungan bangkai pesawat tersebut.
Dalam kejadian pada pukul 10.25 pagi Khamis lalu, helikopter jenis AS355N dengan nombor pendaftaran 9M-PHG terhempas ketika menyertai Latihan Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura 2025 (MITSATOM 2025).

Insiden itu mengakibat dua kru, Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R.G Devendran dilaporkan kritikal, manakala juruterbang helikopter tersebut, Asisten Komisioner Faizul Muhammad, pembantu juruterbang, Superintenden Ahmad Bustamin Baharom serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin mengalami kecederaan.
Terdahulu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (JKDNKA), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), TLDM, Pasukan Polis Marin (PPM), Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan mesyuarat bagi menyelaras kerja-kerja pengapungan helikopter berkenaan.
Mesyuarat yang diadakan di Markas Operasi Bersepadu Nahas Helikopter berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu dipengerusikan bersama Ketua JKDNKA Johor, Senior Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah dan Timbalan Komander (Operasi) Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang, Senior Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi.