KUALA LUMPUR: Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof mendedahkan sedang bertarung dengan penyakit autoimun lupus yang juga singkatan bagi Sistematik Lupus Eritematosus atau Systemic Lupus Erythematosus (SLE).
Melalui perkongsian Instagram (IG), Vivy atau nama sebenar, Vivy Sofinas Yusof, 38, berkata dia perlu berhadapan dengan penyakit itu seumur hidup dan sedang berikhtiar merawatnya.
“Lupus bermaksud serigala yang memberi gambaran betapa penyakit ini menakutkan. Secara asasnya, menyakitkan badan anda dari dalam. Anda mungkin tak sedar kerana wujud menerusi simptom seperti keletihan, ruam atau sakit sendi.
“Stres adalah musuh utama, saya fikir saya sudah menguruskan stres saya dengan baik sebagai seorang usahawan. Saya jarang jatuh sakit dan saya selalu optimis. Tetapi, saya tidak tahu bahawa badan saya sebenarnya sedang runtuh dari dalam,” katanya.
Lupus adalah penyakit autoimun kronik yang menyebabkan sistem imun tubuh menyerang tisu dan organ tubuh.
Lupus boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tetapi, sering dikesan dalam kalangan wanita terutama mereka yang berusia antara 15 tahun hingga 50 tahun.
Lupus dilapor bukan sahaja memudaratkan fizikil atau tubuh badan, malah memberi kesan ketara kepada kesihatan mental. Lupus juga boleh membawa kepada gejala kerisauan serta kemurungan.
Bagaimanapun, Vivy yang juga isteri kepada Datuk Fadzarudin Shah Anuar, bersyukur penyakit itu dikesan dan dia boleh mencari jalan untuk merawat.
“Saya bersyukur saya disahkan menghidap penyakit itu. Jadi, saya tahu bagaimana hendak merawatnya.
“Saya diberitahu ia adalah penyakit seumur hidup di mana saya sudah reda menerimanya. Tetapi, saya sentiasa mencari pilihan rawatan yang tidak membabitkan pengambilan steroid untuk jangka masa panjang,” katanya.
Vivy dilihat kembali berkongsi mengenai kehidupannya bersama pengikut dalam media sosial selepas mengambil masa seketika untuk dirinya sendiri.
Vivy juga ada mewujudkan akaun IG baharu, iaitu Sincerely Vivy yang dijadikan platform untuk dirinya membuat perkongsian. Menerusi akaun itu, Vivy berkongsi mengenai penyakit lupus yang dihidapinya.
Sebelum ini, Vivy memilih untuk menukarkan akau IG kepada privasi selepas didakwa di mahkamah.
Vivy dan Fadzarudin didakwa atas pertuduhan pilihan melakukan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (KHAZANAH) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu. – BH
