Berikut adalah kenyataan penuh YB Mohd. Hairi Mad Shah.
- Saya mengecam keras kenyataan tidak bertanggungjawab oleh Ketua Armada Johor, Alias Rasman yang mendakwa titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sebagai cerminan kegagalan urus tadbir kerajaan.
- Kenyataan itu bukan sahaja dangkal dan biadab, malah jelas memperlihatkan sikap terdesak seorang politikus yang kehabisan modal. Memutarbelitkan titah Raja demi meraih perhatian politik murahan adalah satu tindakan yang keterlaluan dan tidak boleh dimaafkan.
- Ketua Armada Johor ini perlu sedar, beliau tidak berada pada kedudukan moral mahupun kredibiliti untuk menilai urus tadbir kerajaan.
- Jangan alih perhatian rakyat dengan mempergunakan Institusi Diraja sebagai bahan politik atau cuba mengheret Institusi Diraja ke dalam percaturan politik sempit.
- Saya berpandangan, titah Tunku perlu dilihat dalam kerangka kasih dan keprihatinan seorang Raja terhadap rakyat dan negeri yang dikasihi, bukan diputar belit untuk menutup kelemahan sendiri.
- Untuk pengetahuan Armada Johor, semua perkara yang disentuh dalam Titah DYAM Pemangku Sultan Johor itu adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, bagaimanapun Kerajaan Negeri Johor sentiasa terbuka dan bekerjasama rapat serta saling membantu dalam memastikan isu seperti gaji minimum, hospital, “brain-drain”, dan bekalan air bagi memastikan limpahan dapat dirasai seluruh Bangsa Johor.
- Ketua Armada Johor ini seharusnya lebih cermat dalam memberikan pandangan. Jangan sesekali cuba memanipulasi titah Raja demi kepentingan politik atau untuk menutup kegagalan sendiri ketika memegang tampuk kepimpinan.
- Institusi Diraja Johor sentiasa menjadi tonggak kestabilan negeri dan suara hati rakyat. Pemuda UMNO menyokong penuh setiap titah dan pandangan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor yang lahir daripada keprihatinan terhadap rakyat serta masa depan Johor.
- Titah Pemangku Sultan Johor adalah suara keprihatinan tulen seorang Raja kepada rakyat dan negeri Johor. Ia tidak perlu dimanipulasi oleh individu berkepentingan yang cuba menunggang sentimen istana demi agenda politik peribadi.
- Saya menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan Institusi Diraja. Hormatilah institusi ini sebagai payung perpaduan dan simbol kedaulatan negeri.
- Hentikan segera tindakan memperlekeh dan memperalat Institusi Diraja. Saya tidak akan berdiam diri jika ada mana-mana pihak, termasuk bekas pemimpin yang sudah ditolak rakyat, cuba mencemar martabat Raja dan kestabilan negeri.
- Hormatilah titah Tunku. Jangan jadi penghasut yang tidak sedar diri!
YB MOHD HAIRI BIN MAD SHAH
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
