Anwar terima dokumen RMK-13 untuk pembentangan di Dewan Rakyat esok

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menerima penyerahan rasmi dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.

Perdana Menteri berkata, penyerahan dokumen itu menandakan berakhirnya fasa penyediaan pelan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030, sekali gus membuka tirai kepada perbincangan dasar yang akan menentukan hala tuju pembangunan negara dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, RMK-13 disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus untuk mengangkat martabat secara adil dan saksama tanpa ada mana-mana kumpulan yang dipinggirkan.

“Penyediaannya membabitkan sesi libat urus meluas bersama pelbagai pemegang taruh merentasi sektor, latar belakang dan wilayah, termasuk kerajaan-kerajaan negeri, demi memastikan suara rakyat benar-benar diangkat dalam perancangan masa depan negara.

“Insya-Allah, saya akan membentangkan usul RMK-13 di Dewan Rakyat esok. Kerajaan MADANI amat mengalu-alukan perbahasan dan cadangan konstruktif daripada semua Ahli Parlimen demi memperkukuh dasar dan hala tuju yang digariskan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. – BH

More From Author

Tumbuk cikgu: Pelajar mengaku salah

Anwar bentang RMK13 pukul 12 tengah hari ini