KUALA LUMPUR: Sebahagian daripada 36 warga Bangladesh yang ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti militan di negara ini disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata beberapa individu lagi masih dalam tahanan bagi membantu siasatan lanjut berhubung rangkaian militan terbabit.
“Setakat ini kita menahan 36 warga asing iaitu Bangladesh.. ada yang kita simpan dan kita tahan di bawah SOSMA.
“Selebihnya kita telah usir keluar dan beberapa lagi masih lagi dalam tahanan serta memerlukan siasatan lanjut,” katanya ditemui selepas majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sini hari ini.
Menurutnya, satu sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi menjelaskan secara terperinci hasil siasatan dan status kesemua individu terbabit.
“Esok atau lusa saya akan panggil sidang akhbar untuk kita semua menjelaskan kedudukan perkara yang sebenar,” katanya.Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menjadi penyokong kumpulan radikal Al-Qaeda dan Harkat-ul-Jihad al-Islami Bangladesh (HuJI-B) yang pernah terbabit dalam siri pengeboman di negara asal mereka.
Mereka masuk ke Malaysia sebagai pelajar dan pekerja asing sebelum kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Difahamkan, operasi menahan semua suspek dilakukan antara 23 Mei hingga 11 Jun lalu di sekitar Lembah Klang dan Seremban, hasil maklumat risikan Cawangan Khas Bukit Aman yang menyasarkan rangkaian militan asing yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit, rekrut dan kutipan dana. – BH