Nidzam Jamil dilantik sebagai Ketua Jurulatih NSFC baharu

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) melantik bekas pengendali Selangor FC, Mohd Nidzam Jamil sebagai ketua jurulatih pasukan itu bagi menghadapi saingan musim 2025/2026.

Pengerusi NSFC Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pemilihan Mohd Nidzam, 45, adalah usaha berterusan kelab itu dalam memperkukuh persediaan pasukan dan menetapkan hala tuju baharu yang lebih progresif dan mampan.

“Mohd Nidzam berpengalaman luas dalam landskap bola sepak tempatan sama ada sebagai bekas pemain kebangsaan mahu pun jurulatih berprofil tinggi.

“Sebagai sebahagian pelan strategik jangka panjang, NSFC memberi fokus kepada pembangunan bakat muda tempatan terutama pemain muda negeri dan ia disokong barisan kejurulatihan dan pemain senior sekali gus memastikan pemain muda dibimbing secara menyeluruh dalam dan luar padang,” katanya.

Beliau berkata bagi memperkuat skuad Hobin Jang Hobin juga, barisan pemain import sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kehadiran pemain import itu akan melengkapkan struktur pasukan dengan keseimbangan antara pengalaman antarabangsa, kepimpinan di atas padang dan sumbangan teknikal yang mampu mengangkat mutu permainan keseluruhan,” katanya.

Aminuddin berkata gabungan pemain muda berpotensi, pemain tempatan berpengalaman dan import yang berkaliber itu dijangka membentuk sebuah pasukan yang lebih kompetitif, seimbang dan berdaya saing tinggi. – BERNAMA

More From Author

Kertas siasatan kes pelakon terlibat amang seksual dihantar ke TPR

Teater Tun Fatimah bangkitkan semangat srikandi Melayu