Lelaki mati ditembak di Brickfields, dua lagi cedera

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan mati selepas terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambathan, Brickfields di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian itu turut menyebabkan dua lelaki tempatan cedera dan sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam yang mendengar bunyi tembakan di lokasi terbabit sekitar jam 10.50 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati, tiga mangsa berusia 30 hingga 50-an sedang makan bersama beberapa rakan sebelum dihampiri dua suspek yang menaiki motosikal.

“Suspek kemudiannya melepaskan beberapa das tembakan yang mengakibatkan seorang mangsa mati di tempat kejadian manakala dua lagi cedera parah,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian awal pagi tadi. 

Tambah beliau, buat masa ini tiada sesuatu yang mencurigakan dalam insiden itu dan pihaknya sedang menyiasat motif sebenar kejadian tersebut.

“Setakat ini, kita tidak dapat mengulas lanjut mengenai suspek namun kita sedang mengesan pelaku tersebut dengan segera. 

“Kita masih menjalankan siasatan secara terperinci dari pelbagai sudut termasuklah motif kejadian itu berlaku dan sebagainya,” jelasnya.

Ku Mashariman juga memaklumkan, mayat mangsa telah dihantar ke PPUM bagi proses bedah siasat dan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut menghubungi Ibu Pejabat Polis Daera (IPD) Brickfields bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

More From Author

Pok Mie bermadu, netizen yang panas

UMNO perlu berubah jika mahu dominan semula