KKJ anjur ibadah korban, 4 ekor lembu disembelih

JOHOR BAHRU: Kolej Kemahiran Johor (KKJ) menganjurkan program ibadah korban yang berlangsung dengan penuh semangat muafakat dan kesyukuran di pekarangan kolej tersebut hari ini.

Program ini melibatkan lebih 50 warga kolej termasuk staf dan pelajar yang turut berganding bahu melaksanakan ibadah korban serta pengagihan daging kepada komuniti.

Program ini turut mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ, Mohd  Fahmi Salam yang turun padang bersama-sama warga kolej, menyertai aktiviti melapah daging serta menyampaikan mesej sokongan terhadap inisiatif kemasyarakatan tersebut.

Program berkenaan diketuai oleh Ketua Eksekutif KKJ, Ruhaizal Abu Amin.

Sebanyak empat ekor lembu disembelih hasil penyertaan staf, pelajar dan pihak korporat. 

Daging korban kemudiannya diagih-agohkan kepada golongan asnaf dan komuniti setempat di sekitar Johor seperti di Rumah Pangsa Larkin, Kampung Ubi, Pangsapuri Temenggong Kulai dan Kampung Hajah Fatimah  sebagai tanda kasih sayang, tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap masyarakat.

Menurut Ruhaizal, program itu bukan sahaja memperkukuhkan semangat gotong-royong dan nilai pengorbanan, malah turut membina ukhwah dan mendidik jiwa warga kolej untuk terus berbakti serta berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

“KKJ komited meneruskan tradisi murni ini saban tahun sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan sahsiah dan pembentukan insan seimbang dalam kalangan pelajar, sejajar dengan nilai-nilai murni yang diketengahkan oleh institusi pendidikan teknikal ini,” katanya. – MB

More From Author

Dera anak: Siti dijel 7 hari

Pelajar minta pemandu perlahankan bas tapi tidak diendah