PASIR MAS: Kejadian buli membabitkan sekumpulan pelajar di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Terengganu disifatkan sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam sebarang bentuk perlakuan buli dan memaklumkan bahawa enam pelajar terbabit telah dibuang serta-merta selepas siasatan dalaman mendapati kesalahan itu benar-benar berlaku.
“Siasatan awal dijalankan sejurus kejadian dimaklumkan pada Selasa lalu dan enam pelajar terbabit terus digantung sebelum dibuang selepas keputusan siasatan diperoleh.
“Saya sudah berkali-kali menegaskan bahawa saya tidak akan berkompromi dengan segala perlakuan buli. Prinsip kami jelas, ‘you touch, you go’,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang 2025 di Lubok Jong di sini, pada Jumaat.
Pada Khamis, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua MRSM di Besut mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior di Asrama Putera sehingga mengalami kecederaan di perut, rusuk dan belakang badan.
Asyraf turut mengakui insiden tersebut memberi tamparan kepada usaha pencegahan buli yang selama ini dilaksanakan secara berterusan oleh pihak Mara.
Beliau berkata, program pencegahan seperti sesi aku janji, pencerahan, motivasi dan kaunseling telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu dengan kerjasama semua kaunselor MRSM. – Sinar Harian
