KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya dilihat berada di landasan tepat untuk melangkah ke satu tahap lebih tinggi dengan menyasarkan perlawanan menentang gergasi Asia seperti Jepun dan Korea Selatan dalam usaha memperkasakan pembangunan bola sepak negara.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan, berkata usaha menentang pasukan berprofil tinggi harus diteruskan kerana ia mampu membentuk mentaliti dan prestasi pemain ke arah lebih kompetitif.
“Saya rasa kita sedang menuju ke satu tahap di mana kita perlu mula fikir untuk menentang pasukan seperti Korea, Jepun atau pasukan Asia Barat. Dari situ kita boleh tahu sejauh mana kemampuan sebenar pasukan,” katanya.
Zainal menegaskan walaupun perlawanan seperti itu mungkin menyaksikan kekalahan besar, ia sebenarnya memberi pendedahan berharga yang membantu pemain belajar dan meningkat dari segi teknikal dan fizikal.
“Saya sendiri pernah melalui zaman itu. Kita mungkin kalah 3-0 atau 4-0, tapi dari situ kita belajar. Sekarang ini adalah permulaan yang baik dan kita perlu teruskan,” katanya yang juga bekas tonggak kebangsaan era 80-an dan 90-an.
Mengulas prestasi skuad negara menentang Vietnam baru-baru ini, Zainal menyifatkannya sebagai petanda positif hasil pendedahan kepada aksi bertaraf tinggi sebelum ini, yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada mutu permainan. – BH
