KUALA LUMPUR: Inisiatif diskaun 50 peratus untuk tiket penerbangan ke 57 destinasi dalam ASEAN kepada pengamal media tempatan, merupakan pengiktirafan besar terhadap peranan penting wartawan serta memupuk kefahaman serantau dalam kalangan pengamal media.
Wakil media daripada Kelab Media Putrajaya (KMP), Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) dan Kelab Media Mutiara, menyifatkan inisiatif hasil kerjasama strategik antara AirAsia dan Kementerian Komunikasi itu, bukti sokongan terhadap usaha pengamal media dalam membina masyarakat berinformasi dan berdaya saing.
Presiden KDJA Ronnie Teo Teck Wei berkata media di Bumi Kenyalang khususnya, amat menghargai pengiktirafan AirAsia terhadap dedikasi serta komitmen mereka dalam menyokong pengamal media yang menyampaikan kisah Malaysia.
“Inisiatif ini sejajar dengan matlamat yang lebih luas untuk memperkukuh hubungan serantau dan menggalakkan pergerakan lebih luas di Asia Tenggara, dengan menekankan visi bersama terhadap keterhubungan, penghargaan budaya dan pemerkasaan media.
“Bagi pihak komuniti media Malaysia amnya dan Sarawak khasnya, ucapan terima kasih yang tulus ditujukan kepada AirAsia dan Kementerian Komunikasi atas sokongan dan kemurahan hati yang tidak berbelah bahagi,” kata kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Presiden NSJA Chai Chon Chin pula menyifatkan insentif itu sebagai satu bentuk penghargaan signifikan terhadap usaha dan pengorbanan pengamal media, terutama di kawasan luas seperti Sarawak yang menghadapi cabaran logistik dan akses, sejajar peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN ketika ini.
“Inisiatif ini membuka ruang kepada kerjasama media rentas sempadan serta menegaskan kepentingan kebebasan media dan kesedaran serantau dalam agenda pembangunan negara,” katanya.
Presiden KMP Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan berkata kemudahan itu, bukan sahaja memberi manfaat besar kepada petugas media, malah membuka peluang untuk mereka berehat dan mengembara selepas berhempas-pulas dalam melaksanakan tugasan.
“KMP amat menghargai inisiatif ini dan berharap lebih banyak kerjasama seperti ini dapat diwujudkan pada masa akan datang. Ia satu bentuk pengiktirafan terhadap usaha dan pengorbanan wartawan yang sentiasa berada di barisan hadapan menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat,” kata wartawan Sinar Harian itu.
Bagi wartawan Bernama TV Nazahiyah Mohd Hadzir, tawaran itu merupakan satu ganjaran amat bermakna yang digambarkan sebagai menghilangkan segala penat lelah petugas media, yang sentiasa bersedia menyampaikan berita kepada masyarakat.
“Diskaun yang ditawarkan sangat besar ertinya. Ia memberi peluang kepada pengamal media untuk meneroka negara-negara ASEAN,” katanya sambil berkongsi hasrat untuk melancong ke Vietnam.
Jurufoto Utusan Malaysia Ahmad Faiz Alif Ahmad pula berpandangan tawaran tersebut cukup istimewa, khususnya buat petugas media yang jarang berpeluang bercuti akibat komitmen kerja.
Berkongsi pandangan sama, Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang Mohd Iskandar Othman berkata inisiatif itu turut meraikan dedikasi para media dalam memainkan peranan dalam ekosistem media negara.
“Inisiatif ini juga membolehkan para wartawan menerokai destinasi menarik di rantau ini, khususnya kerana Pulau Pinang kini mempunyai hubungan udara terus dengan enam negara anggota ASEAN iaitu Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Myanmar dan Kemboja,” katanya.
Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan inisiatif khusus buat pengamal media tempatan yang memegang Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan (JaPen) itu pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Tempahan tiket akan dibuka hingga 31 Dis 2025 manakala tempoh penerbangan bermula pada April hingga September 2026, dengan butiran dan mekanisme tempahan tiket akan diumumkan JaPen dalam masa terdekat.
Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, majlis kemuncak yang dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. – BERNAMA
