KUALA SELANGOR: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan semua aset luar negara milik Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarga serta proksinya ibarat satu penderaan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya benar bekas Menteri Kewangan itu melakukan kesalahan ia perlu dibuktikan di mahkamah.
“Apa yang kesalahan Tun Daim? Dia curikah? Ada bukti kalau dia mencuri? Kalau ada bukti, dakwa dia dalam mahkamah. Ini tak ada tindakan dakwaan.
“Tiba-tiba tindakan drastik diambil membekukan harta, rumah dan semua miliknya, macam satu penderaan terhadap dia dan sekarang ini isterinya. Kalau benar salah, tunjukkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MAHA Klinik di Puncak Alam, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan SPRM yang akan membekukan aset dan harta Allahyarham Daim, keluarganya serta proksinya.
Difahamkan aset bernilai tinggi dan mempunyai kepentingan komersial itu berada di lima negara selain United Kingdom (UK), dengan nilai dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.5 bilion.
Menurut sumber, tindakan itu dijangka dilakukan berikutan SPRM mendapati aset-aset berkenaan gagal diisytiharkan dalam siasatan terhadap pemimpin politik berkenaan.
Lima negara menempatkan aset dan harta terbabit ialah Amerika Syarikat (AS), Singapura, Jepun dan Itali dan Jersey iaitu negara pulau yang terletak di Selat Inggeris dan luar pantai Normandy, Perancis. – MalaysiGazette
