Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara dituduh terima rasuah RM235,000 dan tiga kereta mewah

SHAH ALAM: Bekas Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 20 tuduhan menerima rasuah wang tunai RM235,000 dan tiga kereta mewah daripada pengarah sebuah syarikat subkontraktor.

Kereta mewah yang didakwa diterimanya sebagai suapan adalah BMW model 730Li, Land Rover model Range Rover dan Bentley model Flying Spur.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Ali, 61, menerima rasuah berkenaan daripada pengarah syarikat Benalec Sdn Bhd, Datuk Leaw Seng Hai di antara 18 April 2024 hingga Januari 2025 sebagai upah melantik syarikat itu sebagai subkontraktor untuk menjalankan pembinaan dan penyiapan tambakan serta semua kerja di bawah projek Cadangan Menambak Laut Seluas 100 ekar di Perairan Kawasan Kota Laksamana, kawasan Bandar 6, Daerah Melaka Tengah, Melaka bernilai lebih RM45 juta.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dituduh melakukan kesalahan tersebut di Tingkat 2, no, 23, Jalan Perintis U1/52, Glenmarie Temasya, Seksyen U1, Shah Alam.

Oleh yang demikian, Mohamad Ali dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Beliau berdepan dengan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima Kali ganda jumlah atau nilai suapan RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi sekiranya disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan supaya mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM60,000 untuk semua pertuduhan termasuk serahan pasport antarabangsa sehingga kes selesai.

Selepas mempertimbangkannya, Hakim, Awang Krisnada Awang Mahmud bersetuju dengan cadangan tersebut.

Dalam masa yang sama, mahkamah turut melarang tertuduh yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri  menghubungi mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Untuk info, Mohamad Ali diwakili oleh peguam, Md Yunos Shariff.

Sebagai rekod, beliau pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu, selepas pasukan siasatan berkaitan rasuah itu menyerbu rumahnya di Tangga Batu di Melaka. – MalaysiaGazette

More From Author

Beri kuasa kepada Hamzah bukti PN sedang bergolak

Suami isteri maut, 3 anak cedera dalam kemalangan di Pekan