JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mengumumkan senarai penuh ‘cai’ pilihan sebelum pemilihan esok akan diberi surat amaran oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu.
Pengerusi JPP PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu turut disahkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Ahmad Kasim.
Menurutnya, tindakan yang dilakukan Ahli Parlimen Pandan itu secara terbuka disifatkan bercanggah secara langsung dengan Garis Panduan Pemilihan 2025 yang telah ditetapkan oleh JPP.
“Kita sudah menegaskan dalam Majlis Perwakilan Pusat (MPP) bahawa JPP akan mengambil tindakan ke atas mana-mana aduan termasuk kempen sendiri. Buat masa ini, JPP akan memberikan amaran keras kepada pihak-pihak yang terbabit.
“Seterusnya aduan ini akan diangkat kepada Jawatankuasa Disiplin dan itu adalah keputusan yang telah dipersetujui Majlis Perwakilan Pusat (MPP),” katanya dalam sesi taklimat media sempena Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil.
Semalam, Rafizi mengumumkan senarai ‘cai’ pilihannya membabitkan beberapa jawatan penting parti itu.
Bagi perebutan empat slot Naib Presiden, Rafizi menyenaraikan empat, iaitu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun dan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G. Manivanan.
Bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Menteri Ekonomi itu menyenaraikan 25 nama, antaranya barisan itu menggabungkan dalam kalangan wakil rakyat, pemimpin muda termasuk penyandang jawatan berkenaan.
Mereka adalah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.
Senarai itu termasuk Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin; Fahmi Zainol, M. Anbarasan, Raiyan Abdul Rahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, Saiful Izham Ramli, Datuk Romli Ishak, Khairul Anuar@Jonah; Ahli Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad dan Mohd Fauzi Abdullah.
Turut tersenarai, V. Anmuniandy, Najib Bakar, Kenny Chiew Chi Kin, Abe Yo Gua Musang, Yew Boon Lye dan Datuk Dr. Mohd. Johari.
Zaliha yang juga Menteri Wilayah berkata, pihaknya telah menurunkan beberapa kain rentang calon yang diletakkan di kawasan pusat pemilihan.
“Kita telah adakan lawatan di lokasi berlangsungnya kongres, ada beberapa ‘banner’ dinaikkan di kawasan pengundian dan kita telah minta diturunkan
“Calon-calon juga telah diarahkan mengeluarkan ‘banner’ bahan kempen keluar dari kawasan pengundian,” katanya.
