JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor terus ‘mendesak’ kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor untuk menyatakan pendiriannya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang semakin hangat diperkatakan.
Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Sr. Dzulkefly Ahmad mendakwa BN Johor yang ditunjangi UMNO tidak bersedia untuk ‘berunding’ tentang perkara itu.
Berikut adalah kenyataan penuh Dzulkefly yang dikeluarkan hari ini.
1. Selepas beberapa respon dari pimpinan pelbagai jawatan khususnya dari parti Umno, Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor memaklumi bahawa Umno dan BN memang tidak bersedia untuk berunding bersama Pakatan Harapan (PH) Johor untuk keberlangsungan politik di Johor khususnya bagi berhadapan dgn PRN16.
2. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Pengerusi AMANAH Johor, Dr Zuhan Zain sebelum ini adalah bertujuan untuk mengariskan strategi PH dalam berhadapan PRN16 dan ianya tiada langsung kaitan dengan Umno yang menerajui kerajaan Johor hari ini.
3. Apa yang menjadi pertikaian kami adalah pembentukan Kerajaan di negeri ini yang tidak meraikan rakan-rakan dalam PH Johor seperti penjawatanan lantikan politik sehingga penyokong dan pendokong dari kalangan PH Johor mula bersuara mempertikai berkenaan dengan pembentukan kerajaan di Johor.
4. AMANAH Johor mendesak agar kerajaan Johor yang dipimpin oleh Umno BN menyatakan pendirian sama ada PRN akan datang bertanding secara tiga penjuru atau dua penjuru melalui gabungan Kerajaan Perpaduan dan ini akan memudahkan untuk PH meletakkan hala tujunya.
5. Antara lain, kami melihat pentingnya penglibatan PH Johor dalam usaha membangunkan negeri ini dan jika Umno BN tidak mahu melibatkan PH maka dari situlah timbulnya cadangan untuk PH tidak bersama dalam PRN16 akan datang.
6. Umno BN seharusnya berjiwa besar dalam menerima teguran bukan dengan melenting sehingga menuduh dan memperlekehkan rakan-rakan dalam PH yang juga merupakan komponen Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
SR DZULKEFLY AHMAD
Timbalan Pengerusi
Parti Amanah Negara (AMANAH)
Negeri Johor
