‘Nurul Izzah jumpa saya, rayu bantuan’

JOHOR BAHRU: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Nurul Izzah Anwar ada merayu bantuannya selepas tamat pemilihan pada Kongres Nasional PKR, kali ini.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, perkara itu dinyatakan Nurul Izzah yang menewaskan beliau dalam pertandingan semalam ketika pertemuan mereka Selasa lalu.

“Dalam pertemuan itu, Nurul Izzah sekali lagi merayu kepada saya untuk membantunya selepas pemilihan parti. Ada gambaran beliau menawarkan jawatan kepada saya, namun saya nyatakan di awal perjumpaan, saya tidak berminat dan akan menghormati keputusan pemilihan.

“Alasan yang diberi ialah kebimbangan beliau dengan barisan kepimpinan baharu yang dilihat bakal menimbulkan masalah kepada Presiden dan parti. Beliau berkongsi kebimbangan mengenai niat mereka, rekod mereka, amalan politik mereka dan kesannya kepada parti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurutnya, jika Nurul Izzah bimbang mengenai amalan mereka itu, sepatutnya beliau tidak bersekongkol untuk menang jawatan Timbalan Presiden.

“Saya tidak pandai bermuka-muka. Saya diketahui dalam dan luar parti yang saya tidak selesa dengan beberapa kumpulan yang pada pandangan saya tidak menggambarkan reformasi politik dibawa PKR. 

“Amalan mereka banyak berkisarkan wang dan keghairahan mendapatkan jawatan, bertentangan dengan janji reformasi yang dibawa parti. Saya konsisten menolak mereka. 

“Atas alasan ini, saya dituduh ego. Setiap kali ada pemilihan, kumpulan ini bekerjasama untuk menolak calon-calon yang tidak mengamalkan perkara yang sama. Saya dituduh memburukkan parti apabila mengkritik amalan ini secara terbuka,” katanya.

More From Author

Azam berani siasat tauke, layak terus terajui SPRM – Anwar

Lantikan politik bukan salah guna kuasa – Perdana Menteri