Mansuh kuasa Presiden benar ahli baharu bertanding – Rafizi

JOHOR BAHRU: Ahli baharu PKR tidak seharusnya dibenarkan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti mahupun dalam pilihan raya. 

Justeru, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menyeru kuasa Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membenarkan perkara itu, dimansuhkan.

Menurut, pelepasan itu memalukan parti da tidak adil kepada ahli parti yang setia dan melalui perit-jerih memperjuangkan parti sejak sekian lama sehingga mampu membentuk kerajaan seperti sekarang.

“Bagaimana bekas Bendahari MIC, boleh bertanding pilihan raya hanya selepas masuk parti enam bulan sahaja, malah bertanding di kawasan Parlimen selamat. Kemudian, tak sampai dua tahun, dilantik jadi Timbalan Menteri dan kini bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan.

“Anggota setia PKR macam kami ambil masa panjang sebelum dapat peluang bertanding. Jika terbukti ikhlas berbakti dan berjuang tanpa balasan untuk parti, saya yakin akar umbi akan angkat kamu jadi calon pilihan raya,” katanya dalam Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (Hiruk) di Hotel New York, di sini malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata, ahli baharu seharusnya membuktikan kesetiaan kepada parti terlebih dahulu dan perlu masa lima tahun sebelum boleh bertanding pada pemilihan parti dan bertanding atas tiket PKR bagi mengelakkan parti itu dibanjiri anggota yang tidak setia berjuang, sebaliknya hanya mengejar jawatan atau laba politik.

“Ini adalah suara akar umbi kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang selama ini ada satu kuasa diberikan, iaitu walaupun anggota parti tidak cukup setahun menjadi ahli, namun dengan pelepasan Presiden, ahli (baharu) dibenarkan bertanding pilihan raya.

“Ini (pelepasan ini) harus dibatal, dimansuhkan. Ia memalukan parti. Setuju tak, lepas ini mesti jadi anggota parti sekurang-kurangnya lima tahun sebelum boleh bertanding,” katanya.

Menurut Rafizi, PKR kini dibanjiri golongan oportunis yang mahu mendapatkan laba dan ganjaran politik terutamanya jawatan.

Katanya, PKR kini tidak ubah seperti parti politik lain setelah wujud dua golongan, iaitu buat kerja untuk menggerakkan parti dan golongan yang berpusu-pusu mahu dapatkan ghanimah atau laba politik.

“Orang lain bersusah payah berjuang demi parti ketika susah, namun apabila parti dalam keadaan senang dan menang, golongan ini muncul. Jangan sesekali benarkan kumpulan yang begini mengambil alih parti kerana nampak gayanya ia akan jadi begitu,” katanya.

More From Author

Enam penuntut UTM cemas, bas terbakar 

Padah mohon tender guna dokumen palsu