Dua beranak maut, Toyota Hilux jatuh gaung

SEGAMAT: Dua beranak maut, manakala tiga empat lagi cedera apabila Toyota Hilux dinaiki mereka  terbabas lalu jatuh ke dalam gaung berhampiran Kampung Kwongsai, Jalan Segamat-Labis, di sini petang semalam.

Mangsa, Mohd. Fitri Md. Said, 37, dan Nurin Insyirah, 9, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Nurain Farhana Johari, 32, serta tiga anak mereka, Muhammad Zikri, 11,  Nur Husna, 4, dan Nur Atiya, 2, mengalami kecederaan.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan II, Zainal Abidin Che Deraman, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.47 petang.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah Toyota Hilux yang terbabas lalu jatuh ke dalam gaung kira-kira lima meter.

“Pihak bomba menggunakan ‘hydraulic ramp’ dan lain-lain peralatan khas bagi menstabilkan kenderaan untuk mengeluarkan mangsa yang berada di bawah kenderaan tersebut.

“Terdapat tiga orang mangsa yang merupakan isteri serta anak mangsa mengalami kecederaan telah keluar sendiri dari kenderaan dan dibawa ke hospital sebelum pihak bomba tiba, manakala dua orang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang turut tiba di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mayat dua beranak tersebut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.  

Operasi tamat pada pukul 8.05 malam.

More From Author

PKR veep rubbishes claims 11 MPs retracting support for Anwar

Penggali kubur ‘sembunyi’ 12 tahun didakwa  mengaku tak bersalah larikan RM100,150