Anwar ‘ayah’ semua ahli parti – Nurul Izzah

JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan ayahnya seorang, malah ayah kepada semua ahli PKR, termasuk Datuk Seri Rafizi Ramli.

Justeru, beliau berharap semua ahli PKR tidak melihat hubungan kekeluargaan antara mereka  sebagai satu faktor yang membezakan dirinya dan ahli-ahli lain.

“Saya hadir kongres hari ini dengan perasan bercampur-baur, perasaan saya seolah-olah ditelan mati emak, diluah mati bapa.

“Anwar bukan ayah saya seorang, tetapi ayah kepada Rafizi dan kami semua yang buat keputusan menyertai PKR atas dasar cintakan perjuangan dan idealisme dibawa parti ini.

“Mungkin ada segelintir pihak yang sertai PKR kerana merasakan ada peluang mendapatkan pengaruh dan kuasa, tetapi majoriti sertai ketika kita tiada apa-apa kerana mereka sayangkan Anwar dan hormat seolah-olah ayah mereka sendiri,” katanya dalam  sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut berharap barisan kepimpinan baharu termasuk di peringkat akar umbi tidak mengetepikan ahli yang tidak memberi sokongan kepada mereka dalam pemilihan lalu.

“Jangan ketika ada pihak yang menang dan bangun, ada pihak yang mahu runtuhkan. Pemenang kena libatkan perwakilan cabang dan ranting walaupun mereka tidak beri sokongan.

“Kita perlu ingat, tanpa mereka, PKR akan kehilangan satu pertiga undi dalam pilihan raya akan datang,” katanya sambil  mahu usaha pemulihan parti pasca pemilihan dilaksanakan segera.

More From Author

Lantikan politik bukan salah guna kuasa – Perdana Menteri

Aksi agresif pacu Man-Tee ke final Malaysia Masters 2025