JOHOR BAHRU: Meskipun berkerusi roda,seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) bertekad menjadi ‘ibu’ kepada 22 penghuni di Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-Kanak Kurang Upaya Negeri Johor di sini.
Mereka menumpang kasih di pusat penjagaan berkenaan yang beroperasi di Jalan Keembong 45, Taman Johor Jaya yang diasaskan dan dikendalikan Mohd Yahya Haidrus, 55 tahun.
Pusat penjagaan tersebut memberi perlindungan kepada 22 OKU Sindrom Down, Cerebral Palsy (CP) dan autisme berusia antara empat hingga 30 tahun.
Mohd. Yahya yang menghabiskan usia dan masanya untuk penghuni istimewa dan ada dianggapnya sebagai ‘anak syurga’ di pusat kebajikan berkenaan selepas ditubuhkan kira-kira sembilan tahun lalu.
“Kesemua anak syurga di pusat jagaan ini terutama mereka yang menjadi mangsa pengabaian keluarga kerana kecacatan serta kekurangan dialami merupakan saham akhirat saya.
“Kebanyakan penghuni di pusat jagaan ini merupakan mereka yang menjadi mangsa pengabaian keluarga,” ujarnya ketika ditemui di pusat penjagaan itu hari ini.
Terdahulu Pusat jagaan itu menerima sumbangan barangan keperluan bernilai RM1,000 disampaikan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.
Mohd Yahya yang berasal dari Pekan Jabi, Segamat turut dibantu oleh ahli keluarganya serta beberapa pekerja dalam menguruskan rumah kebajikan berkenaan.
“Rutin harian saya adalah untuk menghantar dan mengambil lima kanak-kanak yang belajar di kelas pendidikan khas di sekolah berhampiran.
“Malah bagi yang memiliki masalah kesihatan, saya juga akan memastikan mereka tidak ketinggalan menghadiri janjitemu dengan doktor di hospital awam.
“Malah saya juga bertanggungjawab untuk memastikan kebajikan penghuni di sini kerana selain pemakanan mereka, kami juga perlu menyediakan keperluan seperti lampin pakai buang, susu khas disyorkan doktor dan sebagainya,” katanya.
Katanya, sebagai seorang OKU yang menggunakan kerusi roda, dia mampu memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan OKU di pusat tersebut.
“Sebelum membuka pusat jagaan ini saya pernah berkhidmat selama hampir 27 tahun di sebuah pusat jagaan lain.
“Pengalaman ini mendorong saya untuk membantu, terutama kanak-kanak OKU yang memerlukan penjagaan, kasih sayang dan peluang untuk mengembangkan kebolehan mereka.
“Saya percaya setiap insan berhak hidup dengan bermaruah, dihargai dan mendapat peluang yang adil.
“Menerusi operasi pusat jagaan yang saya usahakan, saya mahu membantu anak-anak ini menjalani kehidupan yang lebih baik, berdikari dan memiliki masa depan cerah seperti golongan normal.
“Kami menggalakkan penghuni membaca dan menulis serta bergiat dalam aktiviti luar di kawasan pusat jagaan.
“Kami berharap dapat menyediakan latihan kepada penghuni pusat jagaan itu pada masa depan supaya sesetengah mereka dapat hidup berdikari,” katanya.
Menurutnya, hanya beberapa penghuni yang menerima kunjungan ahli keluarga serta turut tampil memenuhi keperluan mereka sepanjang menghuni di situ.
Mohd Yahya berkata, antara pengalaman yang diharungi di pusat jagaan itu termasuk mengurus jenazah penghuni remaja perempuan mualaf yang merupakan OKU terlantar pada tahun lalu.
Menurutnya, pihaknya berdepan dengan kesulitan selepas gagal menghubungi keluarga penghuni itu yang sudah lama terputus hubungan dengannya.
“Hampir lapan tahun mereka tidak pernah melawatnya atau mengambil berat berkaitannya.
“Akhirnya dengan bantuan polis kita berjaya mengesan bapanya namun enggan mengurus jenazah mengakibatkan kami mengendalikannya.
“Saya bersyukur kerana dapat menguruskan pengembumian arwah biarpun ia bukan mudah yang mana setiap penghuni di pusat jagaan ini merupakan saham akhirat saya,” katanya.
Sementara itu, Mas Imran berkata, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban pengurusan pusat jagaan berkenaan yang memberi perlindungan kepada golongan OKU.
Bagi mereka yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun
Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Kanak-kanak Kurang Upaya Negeri Johor
20106200113945 RHB Bank Berhad.- MAJESTIC
