Suspek curi lori hijau direman 3 hari

JOHOR BAHRU: Lelaki yang dikejar beberapa kenderaan peronda polis kira-kira 100 kilometer kerana disyaki mencuri sebuah lori berwarna hijau di Pasir Gudang semalam direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman bermula hari ini dikeluarkan Majistret Johor Bahru, Tan Chiew King, pagi ini.

Lelami berusia dalam lingkungan 30-an itu disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, Seksyen 186 Kanun sama kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Dia turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan.

Semalam media melaporkan polis menahan suspek selepas mengejarnya kerana disyaki melarikan sebuah lori di Plentong, di sini kira-kira jam 7.20 pagi.

Suspek yang dikesan di kawasan perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang bertindak melarikan diri dengan memandu lori berkenaan secara melulu dan berbahaya.

Suspek berjaya ditahan di sekitar kawasan Pasir Gudang oleh sekumpulan anggota polis peronda selepas dikejar selama tiga jam sejauh kira-kira 100 kilometer.

Selain menemukan satu paket lutsinar yang mengandungi dadah dan ujian saringan air kencingnya positif dadah jenis methamphetamine, suspek turut mempunyai 27 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. – MAJESTIC

More From Author

Dijel sebulan kerana curi RM16 tabung surau

PRN Melaka: Pas sedia guna lambang BN – Hadi