Bayi dalam kandungan maut, ibu cedera kemalangan

KOTA TINGGI: Seorang wanita hamil cedera, manakala bayi dalam kandungannya maut apabila motosikal dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 4.3, Jalan Kota Tinggi-Kluang, hari ini.

Fazila Hamdan, 35, cedera pada bahagian kepala dan pendarahan dalaman, manakala bayi dalam kandungannya maut.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.55 petang.

“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis SYM yang ditunggang wanita berkenaan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 61 tahun.

“Siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada Nissan X-Trail masuk simpang sebelum bertembung dengan motosikal di laluan menegak,” katanya dalam satu kenyataan.

Wanita yang mengandung 36 minggu itu kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru manakala pemandu warga emas tersebut tidak cedera.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan penjara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.- MAJESTIC

More From Author

Maut dirempuh lori semasa selenggara jalan

Projek dihentikan serta-merta jika jadi punca banjir kilat – Jafni