KULAI: Seorang pekerja penyelenggaraan lebuhraya warga Pakistan maut dilanggar sebuah lori yang terbabas di Kilometer 18.5, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima makluman tentang kejadian tersebut pukul 7.30 pagi.
“Kemalangan melibatkan dua buah lori yang dipercayai berlaku apabila sebuah lori jenis Luton yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Skudai melalui lorong kiri hilang kawalan.
“Insiden ini berlaku selepas sebuah kereta yang belum dikenal pasti dikatakan menukar lorong secara tiba-tiba dari lorong kanan ke lorong kiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Tindakan itu mengakibatkan lori tersebut melanggar bahagian belakang sebuah lori jenis Hino yang sedang berada di lorong kecemasan untuk tugas kerja-kerja penyelenggaraan lebuhraya.
Akibatnya, lelaki warga asing berumur 47 tahun yang berada di bahagian belakang Hino mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-3063710 atau hadir terus ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kulai.- MAJESTIC
