Harap Gelombang Biru ‘membanjiri’ negeri lain – Zahid

JOHOR BAHRU: Kejayaan Barisan Nasional (BN) memperoleh lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diharap mencetuskan gelombang biru di negeri lain.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini susulan mereka akan menghadapi PRN Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

“Mudah-mudahan kejayaan ini juga akan mencetuskan gelombang biru untuk negeri-negeri.

“Insya-Allah kita akan menghadapi PRN di Negeri Sembilan dalam waktu terdekat dan selepas itu ke Melaka dan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16,” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO Johor, malam ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, BN juga akan melaksanakan aku janji seperti dalam manifesto untuk pengundi di negeri Johor.

“Kami di ibu pejabat BN dan UMNO Malaysia akan memantau prestasi selanjutnya, menyantuni serta menangani permasalahan rakyat agar Johor menjadi negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan BN dalam PRN Johor kali ini juga satu kejayaan rasmi dan peribadi kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Tentunya ia dilatarbelakangi oleh sebuah pentadbiran yang cekap untuk negeri Johor dengan kemajuan dan kejayaan di mana ini merupakan rekod yang terbaik telah diperlihatkan oleh BN sepanjang empat tahun, tiga bulan dan 19 hari sebelum ini Datuk Onn Hafiz mentadbir Negeri Johor,” katanya.

Beliau turut berjanji pentadbiran kerajaan baharu yang bakal dibentuk akan dilaksanakan dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut yakin pembentukan kerajaan Johor oleh BN tidak akan menjejaskan hubungan parti di dalam kerajaan Perpaduan.

“Saya yakin dengan pembentukan kerajaan negeri atas perkenan Tuanku, BN tetap menjalin kerjasama dengan kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

“Kerjasama ini juga kita yakin akan dapat membuahkan hasil bukan sahaja untuk kerajaan negeri tetapi kerajaan Persekutuan.

“Namun kita harapkan agar segala perancangan yang ada di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan perancangan lain akan dapat diterjemahkan pelaksanaannya,” katanya. – MAJESTIC

More From Author

Ini suntikan semangat, kami akan berkhidmat lebih baik – Onn Hafiz

Kemenangan ini bukan satu kebanggaan – Maszlee