Pemuda UMNO dakwa salah guna agensi kerajaan untuk berkempen

JOHOR BAHRU: Pemuda UMNO Johor mendakwa kerajaan Persekutuan menyalahgunakan agensi di bawahnya untuk berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros turut mempersoalkan tahap kebebasan dan neutraliti institusi awam kerana terbabit dalam program PRN Johor yang sedang berlangsung.

“Rakyat berhak mendapatkan penjelasan berhubung penganjuran program berkenaan, khususnya apabila kerajaan Persekutuan diterajui oleh gabungan yang turut bertanding dalam PRN kali ini.

“Persoalan utama yang perlu dijawab ialah mengapa jabatan di bawah kerajaan Persekutuan termasuk Jabatan Penerangan dan agensi berkaitan dilibatkan dalam program yang boleh menimbulkan persepsi tidak berkecuali.

“Rakyat berhak bertanya mengapa agensi kerajaan terlibat, apakah mekanisme yang diwujudkan bagi memastikan sikap berkecuali dipelihara dan mengapa program tersebut tidak diadakan di lokasi yang benar-benar neutral,” katanya dalam hantaran menerusi

Facebook miliknya dengan memuat naik surat jemputan Jabatan Penerangan Negeri Johor mengenai Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung di RTM Johor pada malam ini.

Beliau berkata, jika matlamatnya adalah memberi ruang sama rata kepada semua parti bertanding, mengapa wakil Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (Bersama), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak turut dijemput.

Noor Azleen turut mempersoalkan penggunaan sumber, peruntukan serta kemudahan kerajaan dalam menjayakan program berkenaan selain meminta penjelasan mengenai garis pemisah antara komunikasi rasmi kerajaan dengan aktiviti yang boleh dikaitkan dengan kepentingan politik.

Katanya, isu berkenaan bukan bertujuan membuat tuduhan, sebaliknya berkaitan soal akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap institusi awam.

“Dalam demokrasi yang matang, institusi awam bukan sahaja perlu berkecuali, malah mesti dilihat berkecuali.

“Institusi kerajaan adalah milik seluruh rakyat Malaysia, bukan milik mana-mana kerajaan yang memerintah pada sesuatu masa,” katanya.

Justeru, setiap institusi kerajaan perlu memastikan tiada persepsi bahawa ia memihak kepada mana-mana parti atau gabungan politik sepanjang tempoh pilihan raya.

“Ini adalah standard yang sepatutnya rakyat Malaysia harapkan daripada mana-mana kerajaan tanpa mengira siapa yang memerintah,” katanya.- MAJESTIC

More From Author

Jangan undi calon yang takut isytihar harta – MUDA

Onn Hafiz dakwa diserang kerana ada pihak mahu tutup kelemahan