Amah didakwa cederakan anak majikan

JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan mencederakan anak perempuan majikannya berusia satu tahun, tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Yulia Arnida, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Zainol, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pembantu rumah itu didakwa mendedahkan kanak-kanak tersebut terhadap kecederaan fizikal dengan cara menarik rambut mangsa sehingga kepala mangsa terangkat serta menarik tangan kanan mangsa dengan kasar sehingga menyebabkan kesan lebam.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ledang, Taman Johor, di sini pada waktu petang pada 21 Disember tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) Akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S Manushri memohon jaminan yang tinggi berjumlah RM20,000 terhadap tertuduh beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada Mahkamah dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam, Jason Tan Ka Yan memohon jaminan yang minima memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan dua orang anak berusia 7 dan 8 tahun yang masih bersekolah di Bandar Acheh, Indonesia selain ibu bapa yang uzur.

Bagaimanapun, Hakim memutuskan tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh setelah peguam memaklumkan anak guamnya tidak dapat mematuhi salah satu syarat dikenakan kerana pasport milik tertuduh berada di tangan pihak ketiga.

Mahkamah turut memerintahkan wanita warga Indonesia itu ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Kluang sehingga pihak peguam mendapatkan dokumen perjalanan sementara buat tertuduh daripada kerajaan Indonesia.

Kes disebut semula pada 29 Jun ini untuk serahan dokumen.- MAJESTIC

More From Author

Senarai calon PH bagi PRN Johor 2026

Dua pasangan suami isteri didakwa cederakan pembantu rumah