JOHOR BAHRU: Senarai calon Barisan Nasional (BN) yang tular dalam media sosial kononnya untuk plihan raya negeri (PRN) adañah palsu.
Justeru, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta orang ramai supaya tidak mempercayai atau menyebarkan senarai tersebut.
“Sebarang pengumuman rasmi berkaitan calon BN hanya akan dibuat menerusi saluran rasmi parti.
“Saya mengambil maklum mengenai satu senarai calon Barisan Nasional yang sedang bertebaran di media sosial dan aplikasi WhatsApp.
“Saya ingin menegaskan bahawa senarai tersebut adalah palsu dan tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu tular senarai nama calon BN yang akan bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk nama Onn Hafiz sendiri iaitu penyandang kerusi DUN Machap.
Onn Hafiz berkata, dalam suasana pilihan raya, pelbagai bentuk fitnah, khabar angin, provokasi dan berita palsu dijangka akan dimainkan pihak tertentu bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum menerimanya sebagai fakta.
“Justeru, saya menyeru seluruh Bangsa Johor agar mengamalkan sikap tabayyun, menyemak fakta terlebih dahulu dan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu berita,” katanya.
Menurut beliau, budaya menyebarkan maklumat yang tidak sahih bukan sahaja boleh mencetuskan kekeliruan, malah berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat serta proses demokrasi yang sedang berlangsung.
Dalam masa sama, beliau mengajak semua pihak supaya berpolitik secara matang, berakhlak dan bertanggungjawab sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
PRN Johor bakal diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin lalu.- MAJESTIC
