6 termasuk seorang wanita didakwa jadi keldai akaun

JOHOR BAHRU: Enam individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan pinjaman, pelaburan dan pekerjaan tidak wujud membabitkan kerugian hampir RM200,000.

Tertuduh, Muhammad Aiman Firdaus Sezaini, 21; Fadzil Abd. Aziz, 54, Eric Yeremia Kong, 27; dan Sarawut Chaorai, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee dan Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Muhammad Aiman, Fadzil dan Sarawut masing-masing didenda RM1,000 manakala Yeremia Kong didenda RM450, dan boleh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Keempat-empat mereka didakwa secara tidak jujur menolong mengalihkan harta mangsa antara RM384 hingga RM2,500 di beberapa lokasi di Seri Alam, Johor Jaya dan Ulu Tiram, di sini antara 18 Jun hingga 19 Oktober 2025.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.

Keempat-empat tertuduh terbabit boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Noor Shafiqah Zulaikha Abdul Halim, 22, dan Yap Kay Soon, 50, mengaku tidak bersalah menggunakan akaun bank syarikat membabitkan transaksi berjumlah RM157,000 dan RM30,000 tanpa tujuan yang sah dan menyalahgunakan untuk kegunaan sendiri di Ulu Tiram antara 18 Disember 2023 hingga 29 Jun 2025 serta didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Noor Shafiqah boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM150,000 atau kedua-duanya sekali manakala Kay Soon dihukum dengan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina dan Nurul Syafiqah Sha’ari manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Noor Shafiqah dan Kay Soon masing-masing diikat jamin RM5,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Julai depan sebagai sebutan semula kes.- MAJESTIC

More From Author

Lelaki Indonesia didakwa bunuh juruteknik

Malaysia Lancar GTPC, Ekosistem Penempatan Bakat TVET Pertama Peringkat Nasional