Lelaki Indonesia didakwa bunuh juruteknik

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang juruteknik di sebuah pangsapuri, bulan lalu.

Tertuduh, Fajar Ali, 29, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Fajar

didakwa membunuh Mohammad Sallehen Mohd. Safri, 33, di Prima Tebrau Residensi, Jalan Dato Sulaiman di sini pukul 7 pagi, 12 Mei lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Nazman memohon tiada jaminan ditawarkan memandangkan kes berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 September ini untuk laporan kimia dan bedah siasat.

Pada 14 Mei lalu portal ini melaporkan seorang juruteknik ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam di sebuah rumah pangsapuri di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, mangsa yang bekerja sebagai juruteknik ditemui terbaring dalam kediaman berkenaan pukul 10.50 malam.

“Hasil siasatan awal mendapati sebilah pisau turut ditemukan di sisi mangsa yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.

Difahamkan mangsa dan tertuduh baru berkenalan, kejadian itu diketahui rakan mangsa selepas Mohammad Sallehen tidak datang ke tempat kerja selama dua hari.- MAJESTIC

More From Author

Senarai 15 calon MCA palsu – Tian Soon

6 termasuk seorang wanita didakwa jadi keldai akaun