ISKANDAR PUTERI – MCA Johor memaklumkan senarai calon yang tular dalam media sosial melibatkan kerusi yang akan ditandingi parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti adalah palsu.
Timbalan Pengerusi MCA Johor, Ling Tian Soon berkata, senarai tersebut bukan dokumen rasmi dikeluarkan parti seperti yang ada dalam kepala surat itu.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng itu berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat atau senarai seperti yang tersebar dan menyifatkannya perbuatan pihak tidak bertanggungjawab cuba mengelirukan masyarakat menjelang PRN.
“Penyebaran dokumen palsu dan spekulasi seumpama itu bukan perkara baharu apabila memasuki musim pilihan raya.
“Sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Johor, saya menafikan sekeras-kerasnya senarai tersebut. MCA tidak pernah mengeluarkan surat berkenaan. Ia mungkin ciptaan pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Biasalah apabila tiba musim pilihan raya, pelbagai spekulasi dan dokumen palsu akan ditularkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Jururawat Sedunia Peringkat Negeri Johor di Sunway Hotel Big Box di sini hari ini.
Terdahulu tular senarai 15 calon MCA yang akan bertanding dalam PRN Johor termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akan bertanding di kerusi DUN Skudai manakala Tian Soon pula mempertahankan kerusi Yong Peng.
Tian Soon yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan turut menggesa orang ramai supaya mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi parti atau kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri memaklumkan MCA sudah mengenal pasti calon-calon lebih awal dan menyerahkan senarai cadangan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk proses tapisan serta pertimbangan lanjut.
“Kami telah menghantar senarai calon kepada BN untuk membuat tapisan dan keputusan. Perbincangan terakhir dibuat berdasarkan 15 kerusi yang ditandingi MCA sebelum ini.
“Ada calon muda, ada juga calon senior. Begitu juga melibatkan calon lelaki dan wanita,” katanya.
Mengulas mengenai jumlah kerusi yang bakal diperuntukkan kepada MCA pada PRN Johor, beliau berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan BN untuk dimuktamadkan.
“Kami positif mengenai 15 kerusi yang ditandingi sebelum ini, namun keputusan akhir biarlah dibuat oleh kepimpinan parti di peringkat negeri dan BN.
“Berapa pun jumlah kerusi yang diputuskan nanti, MCA akan menerimanya dengan semangat setiakawan dalam BN. Setiap parti ada asas dan pertimbangannya sendiri dalam rundingan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengesahkan konvensyen BN yang dijadualkan pada 14 Jun ini ditangguhkan dan partinya kini fokus dengan pelancaran Jentera BN pada Sabtu ini. – MAJESTIC
