ISKANDAR PUTERI: Pasangan suami isteri yang bekerja di Singapura maut dalam perjalanan pulang ke rumah di Kilometer 0.6 Lebuhraya LinKedua, arah Utara di sini malam kelmarin.
Kemalangan tersebut mengorbankan Tham Khin Peng, 54, dan Lim Ah Bit, 53, yang tinggal di Taman Malawati di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Saifullah Jaya@Yahaya berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 9.30 malam melibatkan motosikal pasangan itu dan sebuah lori.
“Kemalangan berlaku ketika pasangan tersebut yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman tersebut melanggar bahagian belakang sisi kanan sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan.
“Akibat pelanggaran tersebut kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu kedua-duanya yang bekerja di Singapura iaitu mangsa lelaki bekerja sebagai pemandu Grab manakala isterinya bekerja sebagai pembantu kedai makan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi kaunter aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri 07-5101322.
Terdahulu video kejadian tersebut tular dalam media sosial memaparkan pasangan berkenaan terbaring atas jalan raya akibat kemalangan itu. MAJESTIC
