72 pelayan restoran, tukang masak warga asing diberkas

JOHOR BAHRU: Seramai 72 warga asing diberkas dalam operasi di beberapa medan selera di bandar raya ini kelmarin.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, menerusi Operasi Bersepadu pukul 8.30 malam itu mereka ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Pemeriksaan menyeluruh dijalankan ke atas pekerja dan majikan. Pemeriksaan awal, seramai 72 pekerja asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka terdiri daripada 17 lelaki warga Myanmar, empat lelaki Indonesia, tiga lelaki Vietnam, 37 wanita Vietnam, seorang wanita China dan 10 wanita Indonesia” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata, mereka bekerja sebagai pelayan restoran dan tukang masak berusia lingkungan 19 hingga 46 tahun.

Jelasnya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurutnya, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain itu katanya, sebanyak lima keping borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.

Beliau memberitahu, operasi itu dijalankan serentak bersama-sama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

Operasi tersebut katanya, berjaya mengesan warga asing yang bekerja tanpa pas serta menyalahgunakan kemudahan pas lawatan sosial.

“Operasi ini dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan ini bertujuan mengesan serta membanteras kehadiran warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.

Tambahnya, juga bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.

Operasi bersepadu itu katanya, mencerminkan komitmen berterusan agensi-agensi penguat kuasa dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan, memelihara ketenteraman awam serta memastikan kedaulatan undang-undang negara sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, JIM akan terus mempergiatkan operasi daripada semasa ke semasa tanpa mengira lokasi dan waktu bagi mengesan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

“JIM akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewangan dan memastikan keselamatan serta Intergriti negara terus terpelihara,” katanya.- MAJESTIC

More From Author

Jaslinda selamat ditemui oleh Orang Asli di Pos Musoh

Suami isteri maut pulang kerja di LinKedua