PUTRAJAYA 6 Jun – Malaysia melakar satu lagi sejarah dalam pembangunan pendidikan dan tenaga kerja negara apabila melancarkan GITC TVET Placement Centre (GTPC), ekosistem penempatan bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertama di peringkat nasional.
Pelancaran platform tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena sambutan Hari TVET Negara 2026 yang berlangsung di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Perbadanan Putrajaya, hari ini.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menegaskan bahawa TVET kini bukan lagi pilihan kedua dalam laluan pendidikan negara, sebaliknya menjadi pilihan utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menjana pendapatan lebih baik, meningkatkan mobiliti sosial serta memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia.
Menurut beliau, sambutan Hari TVET Negara bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi simbol bahawa TVET kini berada di tengah-tengah agenda pembangunan negara.
“TVET bukan lagi pilihan alternatif. Ia merupakan laluan utama ke arah pekerjaan berkualiti, pendapatan yang lebih baik dan masa depan ekonomi negara yang lebih mampan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat beberapa cabaran sistemik yang perlu ditangani segera, termasuk ketidakpadanan antara latihan dan teknologi industri semasa, persepsi gaji rendah yang masih membelenggu kerjaya TVET serta jurang dari segi kualiti tenaga pengajar dan kemudahan latihan.

Pada masa sama, beliau berkata pelancaran TVET 2.0 pada hari yang sama menjadi pemangkin kepada pembaharuan ekosistem TVET negara yang lebih responsif dan dipacu oleh industri.
Jelas beliau, sektor industri perlu memainkan peranan sebagai rakan pelabur dalam pembangunan modal insan dengan menyediakan peluang latihan, kemudahan pembelajaran, bimbingan serta laluan kerjaya kepada pelajar dan graduan TVET.
“Pelaburan dalam TVET bukanlah satu kos, sebaliknya pelaburan terhadap produktiviti, daya saing dan masa depan negara,” katanya.
Mengenai GTPC, Ahmad Zahid berkata platform bersepadu itu dibangunkan bagi menghubungkan pelajar, graduan, institusi pendidikan dan pihak industri dalam satu ekosistem bakat yang lebih tersusun dan berasaskan data.
Melalui platform tersebut, pihak industri boleh mendaftarkan keperluan tenaga kerja, menawarkan latihan industri, program perantisan dan peluang pekerjaan, manakala pelajar serta graduan berpeluang membina profil profesional, mempamerkan kompetensi dan mendapatkan penempatan pekerjaan yang bersesuaian.
Selain itu, institusi TVET juga dapat memantau perkembangan pelajar dengan lebih berkesan serta memperkukuh hubungan strategik bersama industri.
GTPC turut menyokong pelaksanaan latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning – WBL), program perantisan dan penempatan pekerjaan, sekali gus memperkasakan amalan pengambilan pekerja berasaskan kemahiran dan kompetensi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menegaskan peranan Government-Industry TVET Coordination Body (GITC) sebagai jambatan strategik yang menghubungkan kerajaan, industri dan institusi pendidikan bagi memastikan keperluan pasaran tenaga kerja selari dengan pembangunan bakat negara.
Beliau menggesa GITC memainkan peranan lebih besar sebagai pemangkin transformasi TVET, khususnya dalam sektor-sektor berimpak tinggi dan berorientasikan masa hadapan seperti aeroangkasa, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh diperbaharui, keselamatan siber dan robotik.
Ahmad Zahid turut menekankan bahawa kejayaan transformasi TVET tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, industri, institusi pendidikan serta pelajar.
Katanya, pelancaran GTPC memberi isyarat jelas bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah sistem TVET yang lebih strategik, inklusif, berasaskan data dan berorientasikan hasil.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak industri untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada bakat TVET, institusi pendidikan mengintegrasikan GTPC dalam sistem latihan dan penempatan masing-masing, manakala pelajar serta graduan memanfaatkan platform berkenaan bagi meningkatkan kebolehpasaran dan membina kerjaya yang lebih cemerlang.
