Tragedi Aidiladha Warga Asing Maut Motosikal Bertembung Lori

MUAR: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum kemalangan di kawasan Kampung Sedenak, Pagoh, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 1.20 petang melibatkan lori dan motosikal ditunggang mangsa.

“Kemalangan berlaku apabila lori berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun sedang bergerak dari arah Kampung Paya Redan menghala ke pekan Pagoh.

“Kemudian motosikal ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian sisi kanan lori,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibat kemalangan tersebut, penunggang warga Indonesia berumur 41 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000. – MAJESTIC

More From Author

Selangor bukan tandingan pasukan ACL Elite