TASHKENT, UZBEKISTAN – Syarikat teknologi kewangan (fintech) berpangkalan di Malaysia, Shorakamengumumkan pembentukan usaha sama strategik bersama syarikat Uzbekistan, Raqama Ltd. bagi memperluaskan pembangunan penyelesaian teknologi kewangan Islam dan memperkukuh ekosistem kewangan digital patuh Syariah di rantau Asia Tengah.
Usaha sama itu dilihat sebagai langkah strategik dalam mempercepat penggunaan penyelesaian kewangan digital yang selamat, berskala dan berteraskan prinsip kewangan Islam, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap produk kewangan patuh Syariah di Uzbekistan dan rantau sekitarnya.
Kerjasama tersebut menggabungkan kepakaran fintech menyeluruh milik Shoraka dengan kelebihan Raqama Ltd. dari segi pengetahuan pasaran tempatan serta jaringan operasi di Uzbekistan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Shoraka, Datuk Hasnul Ismar Mohd Hasnul Ismail berkata usaha sama itu merupakan satu langkah penting dalam memperluaskan komitmen syarikat terhadap pembangunan ekosistem kewangan digital yang inklusif dan berasaskan nilai Islam.

“Kerjasama ini membuka peluang untuk kami meneroka penyelesaian fintech praktikal yang mampu menyokong pertumbuhan pesat industri kewangan Islam di Uzbekistan serta rantau yang lebih luas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara fokus utama usaha sama tersebut termasuk pembangunan produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang mematuhi prinsip Syariah, selain memperluaskan akses kepada penyelesaian kewangan digital untuk perniagaan dan pengguna.
Sementara itu, Pengarah Raqama Ltd., Saidbek Saidkarimov berkata kerjasama dengan Shoraka dijangka memperkukuh landskap fintech Uzbekistan serta menyokong peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kewangan Islam di negara itu.
“Usaha sama ini bukan sahaja akan mempercepat inovasi teknologi kewangan, malah membantu menyediakan penyelesaian kewangan moden dan patuh Syariah kepada pasaran tempatan,” katanya.
Kedua-dua syarikat turut menegaskan komitmen untuk memberi tumpuan kepada aspek inovasi teknologi, pematuhan kawal selia dan kerjasama strategik bagi memastikan pertumbuhan mampan serta impak jangka panjang terhadap pembangunan ekonomi digital.
Dalam lawatan ke Uzbekistan, delegasi Shoraka turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Kementerian Teknologi Digital Republik Uzbekistan, Rustam Karimjanov bagi membincangkan pembangunan platform kewangan inovatif yang dapat memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan digital.
Perbincangan itu turut menyentuh usaha meningkatkan penggunaan teknologi kewangan menerusi penyelesaian yang selamat, cekap dan mesra pengguna untuk sektor perniagaan serta pengguna di negara berkenaan.
