Foto: Hiasan
JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang guru bagi membantu siasatan kes cabul seorang murid sekolah rendah di Seri Alam di sini pada tahun lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa pada pukul 9 malam tadi.
Pihaknya turut mengesan satu hantaran yang tular dalam laman sosial Facebook tentang kejadian berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam berjaya menahan suspek pada pukul 10.30 malam tadi untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah, selain semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana menyentuh mana-mana bahagian badan seseorang kanak-kanak.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebatan,” katanya.
Terdahulu tular dalam Facebook mendakwa seorang murid perempuan dirogol seorang guru lelaki dan kejadian tersebut berlaku pada September tahun lalu. – MAJESTIC
