JOHOR BAHRU: Seramai empat majikan dan 114 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen negeri ini dalam operasi serentak di lima daerah, kelmarin.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, semua PATI berusia antara 21 hingga 55 tahun itu ditahan dalam operasi di sembilan kilang di Johor Bahru, Muar, Segamat, Mersing dan Batu Pahat.
“Dalam operasi tersebut, kita telah memeriksa seramai 511 individu termasuk warga tempatan dan pekerja asing.
“PATI ditahan terdiri daripada 44 lelaki Bangladesh, lapan India; sembilan Pakistan, 28 Nepal, enam lelaki dan dua wanita Indonesia; masing-masing enam lelaki dan wanita Myanmar, tiga lelaki dan seorang wanita Vietnam serta seorang wanita Kemboja.

“Empat lelaki tempatan yang merupakan pemilik syarikat, pengurus gudang serta pengurus syarikat pembekalan pekerja asing berusia antara 50 tahun hingga 60 tahun turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Rusdi berkata, pihaknya turut mengeluarkan 10 notis untuk hadir ke pejabat kepada individu-individu lain sepanjang operasi tersebut bagi membantu siasatan.
“PATI ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala majikan ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi PATI dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan PATI memasuki atau tinggal di dalam premis,” katanya sambil memberitahu semua PATI kini ditahan di Depoh Imigresen Pekan Nanas untuk siasatan dan tindakan lanjut.
