Jangan terpengaruh ajaran sesat

BATU PAHAT: Imat islam di negeri ini diingatkan tidak terpengaruh sebarang ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam usaha memelihara kesucian akidah umat Islam serta memastikan ajaran yang bercanggah dengan Islam tidak disebarkan kepada masyarakat.

Katanya, ajaran Ahmadi Religion adalah ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat, dan penyebaran fahaman tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan rasmi di Negeri Johor.

“Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sentiasa menjalankan pemantauan berterusan terhadap sebarang aktiviti, penerbitan atau bahan promosi yang berkaitan dengan ajaran sesat.

“Tindakan sewajarnya telah diambil, termasuk menurunkan bahan-bahan promosi yang dikenal pasti melibatkan ajaran tersebut,”katanya melalui kenyataan hari ini.

Mohd Fared berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian menggantung banner di tempat tumpuan awam berkaitan ajaran sesat Ahmad Religion di Muar baru-baru ini.

Beliau turut menyeru kepada orang ramai agar terus menyalurkan maklumat dan membuat laporan sekiranya mengesan sebarang aktiviti, pengajaran atau bahan berkaitan ajaran sesat kepada Pejabat Kadi Daerah yang berhampiran atau melalui saluran rasmi pihak berkuasa agama.

“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan keharmonian agama dan ketenteraman awam di Negeri Johor terus terpelihara,” katanya. – Majestic

More From Author

Pencemaran: 81 nelayan terjejas terima bantuan tunai RM300

Dua pegawai imigresen didakwa terima wang, seorang lagi pecah amanah