Sultan didenda RM1,000 buang puntung rokok

JOHOR BAHRU : Seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM1,000 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam.

Sultan Md, 28, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Bengali di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Dia diperintahkan untuk melakukan khidmat masyarakat selama enam jam dengan tempoh dua jam sehari dan perlu dilaksanakan tidak lebih daripada enam bulan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Sultan didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa pepejal berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut, di sini, pada 1.27 pagi, 1 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 dan sebagai tambahan suatu perintah khidmat masyarakat maksimum 12 jam, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Rubiah Maulud manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Majestic

More From Author

Mangsa kebakaran tanah gambut terima bantuan tunai

MPK bantu lancarkan trafik di bandar Kluang