21 kali pengeboman air padam kebakaran tanah gambut

KOTA TINGGI: Sebanyak 21 kali pengeboman air dilakukan setakat ini menggunakan 33,000 liter air hari ini bagi memadam kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang di sini.

Usaha tersebut dilakukan Unit Udara Bomba bermula tengah hari tadi melibatkan kawasan seluas hampir 100 hektar iaitu kawasan yang sukar dijalankan kerja-kerja pemadaman sebelum ini kerana lokasinya jauh ke dalam belukar.

Menurut Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bahagian Udara JBPM Mohd Ruzaidi Ramlee, proses pemadaman dilakukan menerusi operasi fasa pertama yang bermula pukul 12.30 tengah hari, mengambil masa 1 jam 42 minit penerbangan.

“Tumpuan pemadaman oleh helikopter adalah di sektor D dan E iaitu kawasan tengah kebakaran yang sukar dimasuki anggota bomba darat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Jelasnya, operasi pengeboman air berdepan beberapa cabaran antaranya kawasan perumahan berhampiran lokasi kejadian dan tiupan angin kuat dari laut yang meningkatkan risiko penerbangan.

Katanya, satu lagi penerbangan dijadualkan pada sebelah petang ini, dengan jangkaan kira-kira 40 kali pengeboman air melibatkan 50,000 liter air.

Beliau memberitahu, helikopter berkenaan dilengkapi peralatan Bambi Bucket berkapasiti 1,590 liter.

Setakat 12 tengah hari, kira-kira 54.8 peratus daripada keseluruhan 99.55 hektar kawasan kebakaran berjaya dipadamkan dan penggunaan aset udara dijangka dapat meningkatkan kadar pemadaman, khususnya di kawasan tengah.

Kebakaran berkenaan menjejaskan kehidupan harian penduduk apabila kepulan asap tebal menyelubungi kawasan perumahan yang menyebabkan kesukaran bernafas dan mengurangkan jarak penglihatan selain kawasan perumahan masih diliputi kepulan asap putih tebal dan bau asap yang kuat.

Seramai 153 penduduk daripada 50 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan Sungai Kapal.

Semalam di Sektor B, tumpuan diberikan kepada kerja-kerja pemadaman menggunakan aliran hos sepanjang 152.4 meter dengan bantuan breaching dan pancutan nozzle selain pembinaan fire break.

Sementara itu di Sektor A, anggota bomba bersama APM dipecahkan kepada dua kumpulan bagi memadam kebakaran di belakang kawasan perumahan menggunakan pam jentera, pam angkut dan sumber air pili bomba berhampiran.- Majestic

More From Author

Cemar sungai : Pengurus, operator kilang sawit ditahan

Mangsa kebakaran tanah gambut terima bantuan tunai