KOTA TINGG: Pengurus dan operator kilang memproses kelapa sawit ditahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membantu siasatan pencemaran ulu Sungai Johor di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, di sini Ahad lalu.
Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, operasi kilang tersebut yang terletak di Layang-layang, Kluang turut digantung serta-merta.
“JAS memandang serius insiden pencemaran air sungai yang dilaporkan selepas menerima aduan daripada wakil penduduk kampung berhubung keadaan air sungai yang bertukar warna hitam.
“Sepasukan pegawai penguat kuasa JAS Johor telah digerakkan serta-merta ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan menyeluruh termasuk perluasan radius pemeriksaan dan penjejakan di sepanjang alur sungai.
“Hasil siasatan mendapati punca pencemaran disyaki berpunca daripada sebuah kilang memproses kelapa sawit yang beroperasi di kawasan Layang-Layang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr. Mohd. Famey berkata, pemeriksaan teknikal di premis berkenaan turut menemui pelanggaran serius apabila sistem pengolahan efluen gagal berfungsi dengan baik.
“Siasatan mendapati struktur furrow (saluran efluen) dalam kawasan premis telah pecah, menyebabkan efluen mentah terlepas keluar dan mengalir terus ke punca air, sekali gus mengakibatkan pencemaran sungai serta menjejaskan penduduk setempat,” jelasnya.
Menurutnya, susulan penemuan tersebut, JAS Johor telah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap premis terbabit.
Tambahnya, lesen operasi kilang turut digantung sehingga kerja-kerja penambah baikan dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang alam sekitar.
“Tindakan tegas turut diambil dengan menahan pengurus kilang dan seorang operator di bawah Seksyen 37(C) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi membolehkan siasatan rapi dilengkapkan sebelum pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Ujarnya, JAS Johor tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah alam sekitar dan pihak industri diingatkan supaya sentiasa memastikan sistem pengolahan efluen berada dalam keadaan baik serta mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang.
“Kecuaian dalam menguruskan sisa buangan industri bukan sahaja merosakkan ekosistem sungai, malah memberi kesan buruk terhadap kualiti hidup masyarakat setempat,” katanya.- Majestic
