Teknik pengeboman air diguna padam kebakaran tanah gambut

KOTA TINGGI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menggunakan teknik pengeboman air menggunakan helikopter bagi mengawal dan memadam kebakaran tanah gambut Taman Bayu Damai, Pengerang, dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin berkata, usaha tersebut akan digunakan bagi memadamkan kebakaran tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor berkata, ketika ini keadaan masih belum terkawal sepenuhnya dan pihak bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

“Pihak bomba akan membuat pemadaman di bahagian udara kerana beberapa laluan tidak dapat dilalui dan keduanya hos yang panjang tak mampu sampai ke kawasan tersebut, sebab itu kita gunakan helikopter.

“Struktur tanah gambut dan keadaan jalan juga menyukarkan operasi. Cuaca juga kering dan angin kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal di sini hari ini.

Katanya, pada masa sama pihak polis akan memantau keadaan dengan membuat rondaan setiap setengah jam di taman itu untuk melihat keadaan penghuninya dan siapa yang masih berada di rumah.

“Kami juga mengambil nota-nota tentang rumah-rumah yang ada, (penghuni) sudah keluar ke belum. Sebenarnya ada isu juga yang tidak mahu keluar rumah,” katanya.

Aznan berkata, pihaknya risau mangsa yang tidak berpindah kerana asap tidak berhenti dan boleh menyebabkan masalah pernafasan dalam kalangan penduduk.

Beliau memberitahu, setakat tengah hari ini seramai 112 penduduk melibatkan 39 keluarga sudah dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya juga minta keluarga yang terkesan ini keluar kerana kita tak tahu asap yang tebal boleh menyebabkan pelbagai masalah nanti,” ujarnya.- Majestic

More From Author

Kebakaran merebak, 12.1 hektar terjejas

Cemar sungai : Pengurus, operator kilang sawit ditahan