Sungai Johor tercemar lagi, air bertukar warna hitam

KOTA TINGGI: Isu pencemaran sungai seakan-akan sinnim dengan negeri Johor.

Kes terbaru Sungai Johor tercemar lagi kurang empat bulan dari kejadian terakhir.

Keadaan itu kembali menghantui penduduk apabila kejadian yang sama dikesan semalam.

Pencemaran Sungai Johor itu disedari berlaku pada tengah hari tadi apabila air sungai di kawasan jeti Kampung Orang Asli Sayong Pinang bertukar warna hitam.

Ketua Jaringan Perikanan Nelayan Darat Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Azman Inam berkata, keadaan itu sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk dan nelayan darat di sekitar kawasan terlibat.

“Perubahan warna air sungai tersebut disedari secara tiba-tiba dan dipercayai berpunca daripada aktiviti kilang. Sampai bila perkara ini nak berlarutan?

“Sungai Johor sangat penting untuk rakyat Johor, bukan sahaja sebagai sumber air mentah, tetapi juga untuk kelangsungan hidup nelayan dan komuniti setempat,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Azman, setakat ini nelayan darat belum terjejas kerana tiada laporan kematian ikan.

Bagaimanapun beliau bimbang keadaan tersebut boleh berubah sekiranya pencemaran berterusan tanpa tindakan tegas pihak berwajib.

Azman menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pihak bertanggungjawab yang menjadi punca pencemaran, agar kejadian sama tidak terus berulang dan menjejaskan kesejahteraan penduduk.

Terdahulu, Oktober tahun lalu, portal ini melaporkan air di sepanjang Ulu Sungai Johor bertukar warna kepada putih seakan susu dipercayai kerana tercemar.

Pencemaran berlaku apabila kolam cucian pasir pecah di Ulu Sungai Johor berdekatan Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Pencemaran yang berlaku turut menjejaskan aktiviti kira-kira 150 nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor dan turut menjejaskan 1.8 juta penduduk, atau lebih 455,757 pengguna akaun air di empat daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi akibat pencemaran Sungai Johor.- Majestic

More From Author

Pengsan tersepit celah jentolak

Kebakaran merebak, 12.1 hektar terjejas