JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa perlu segera memuktamad terma rujukan, syarat dan mekanisme pelaksanaan konsep Rumah Bangsa agar dapat direalisasikan dengan berkesan.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, jawatankuasa itu juga perlu mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan politik berteraskan Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu serta tokoh pemikir dan profesional Melayu.
“Adalah diharapkan dengan terdirinya Rumah Bangsa kelak, UMNO dapat mengembalikan peranannya sebagai jurucakap utama mewakili suara majoriti orang Melayu.
“Namun, konsep Rumah Bangsa tidak wajar disempitkan kepada kepentingan politik kepartian atau sekadar alat menghadapi pilihan raya.
“Sebaliknya berfungsi sebagai wadah memelihara hak orang Melayu dan kepentingan Bumiputera selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malah katanya, Rumah Bangsa juga perlu bersifat sederhana dan inklusif serta dihormati semua kaum di Malaysia supaya tidak menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat majmuk.
Pihaknya menyifatkan cadangan tersebut
sebagai usaha terancang bagi mengembalikan asas muafakat Melayu yang semakin terhakis ketika ini.
Noor Azleen berkata, keputusan itu amat bertepatan dengan realiti landskap politik semasa, khususnya ketika politik Melayu berdepan krisis serta kelompangan kepimpinan.
Pemuda UMNO Johor berpandangan ujarnya, konsep Rumah Bangsa itu mencerminkan komitmen UMNO untuk kembali mencari titik persamaan dalam kalangan parti politik yang berteraskan identiti Melayu dan Islam di Malaysia.
“Ia juga menzahirkan keikhlasan UMNO bagi menyeru semula penyatuan orang Melayu dan Islam demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Kelompangan kepimpinan Melayu yang berlarutan telah menyebabkan kegagalan parti-parti politik Melayu menawarkan kepimpinan yang jelas, wawasan baharu serta gagasan perpaduan yang mampu mengembalikan semangat muafakat Melayu yang sekian lama diharapkan oleh rakyat,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima penyertaan semula ahli-ahli parti dan yang belum menjadi ahli parti atau yang telah meninggalkan parti untuk diterima menjadi ahli-ahli UMNO.
Ahmad Zahid juga mencadangkan penubuhan Musyawarah Nasional bagi mengurus selia dan membincang agenda politik Melayu yang menyentuh soal kedudukan agama Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan dan masa depan anak-anak bangsa.- Majestic
