KULAI – Seorang warga emas yang memandu kereta bernombor pendaftaran Singapura yang dikesan mengisi petrol RON95, dua minggu lalu didenda RM9,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran kereta yang bukan milik kenderaan itu.
Hukuman ke atas Long Sa Kow, 64, yang merupakan pemegang status penduduk tetap (PR) Singapura mengaku bersalah dibuat Majistret R. Salini.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara sembilan bulan, sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS itu didakwa sebagai pemandu kereta Volkswagen Jetta berwarna perak bernombor pendaftaran SLJ 8967 M didakwa mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaan itu.
Bagi perbuatan yang dilakukan di sebuah stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini pukul 10.30 malam, 2 Januari lalu itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli yang mewakili OKS memohon hukuman denda yang minimum memandangkan lelaki itu seorang pesara dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
“OKS menanggung seorang isteri yang juga suri rumah serta tiga anak yang mana dua daripadanya masih belajar dan sekolah.
“Ini kesalahan kali pertamanya dan OKS berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya ini dan akan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan kerajaan Malaysia,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran.
“Hukuman bukan hanya supaya OKS tidak mengulangi perbuatan ini, tetapi sebagai pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan perbuatan yang sama.
“Mahkamah boleh meneliti niat OKS yang mengubah dan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaannya untuk menikmati hak rakyat Malaysia dan kenderaan tempatan,” katanya.
Berdasarkan fakta kes yang diakui benar oleh OKS, pada 4 Januari lalu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah mengesan satu video di Facebook (FB) yang memaparkan sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak bernombor pendaftaran LJ 8967 sedang mengisi minyak RON95 di sebuah stesen minyak di daerah ini.
Difahamkan, hasil siasatan mendapati, OKS sebagai pemandu kenderaan yang sepatutnya bernombor pendaftaran SLJ 8967 M telah menutup huruf S dan M pada nombor pendaftaran itu bagi mengisi minyak subsidi RON95.
Hasil pemeriksaan pada nombor enjin dan nombor chasis kenderaan berkenaan adalah milik kenderaan bernombor pendaftaran SLJ 8967 M dan bukan LJ 8967.
Pada 3 Januari lalu, tular video berdurasi satu minit 30 saat dalam media sosial memaparkan seorang individu yang mengesan perbuatan pemandu kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang sedang mengisi petrol RON95.
Pemilik video mendakwa kemungkinan itu taktik baharu warga Singapura untuk mengaburi mata pihak berkuasa apabila menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan asing itu supaya kelihatan seperti kenderaan tempatan.
Apabila didekati dan disoal pemilik video, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.
Polis yang kemudian memburu pemandu kereta berkenaan berjaya mengesannya di Singapura dan mengarahkannya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.
Pada masa sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo dilaporkan berkata, satu tindakan kes telah diambil ke atas pengusaha stesen minyak berkenaan, kerana pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Beliau dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas hasil siasatan mendapati pihak pengusaha stesen minyak berkenaan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan iaitu mengenai larangan penjualan minyak petrol RON 95 kepada kenderaan pendaftaran asing.- Majestic
