JOHOR BAHRU – Seorang pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu dengan melulu dan berbahaya hingga menyebabkan kematian di Lebuh raya Linkedua, Iskandar Puteri, di sini minggu lalu.
Muhammad Nazri Barahama, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal lelaki berusia 30 tahun kerana memandu dengan melulu dan membahayakan.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 4.40 petang di Lebuh raya Linkedua, pada 8 Januari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta pengangkutan jalan 1987 (pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Inspektor S Vikineswari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan lesen memandu digantung dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sekali sebulan.
Muhammad Nazri dalam rayuannya memohon kepada mahkamah supaya lesen memandunya tidak digantung.
Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, lapor diri di balai polis berhampiran dan lesen digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada pada 24 Februari inibbagi serahan dokumen dan lantikan peguam.- Majestic
