Lelaki warga China ditahan kibar Jalur Gemilang terbalik

KULAI: Seorang lelaki warganegara China ditahan kerana didakwa mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik di sebuah premis dalam kawasan Taman Eko Perniagaan 2, Senai Airport City di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya mengesan video yang tular dalam media sosial itu memaparkan bendera Malaysia dipasang terbalik itu pada pukul 4 petang semalam.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah menjalankan pemeriksaan dan menahan seorang lelaki warga China berusia 38 tahun.

“Polis Johor turut merampas satu helai bendera Malaysia. Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Pindaan 2017) iaitu kesalahan penyalahangunaan lambang dan nama rasmi negara.

Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, kes juga disiasat bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 iaitu perbuatan kelakuan tidak senonoh di tempat awam atau yang boleh menimbulkan kegusaran, ketakutan atau maruah orang lain, jika sabit kesalahan boleh didenda RM100.

Suspek juga disiasat bawah Peraturan 39(B) Peratura-Peraturan Imigresen 1959/1963 iaitu kesalahan melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan, jika

boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, katanya.

I “Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan kenyataan berbaur provokasi berkaitan isu ini dalam mana-mana platform media sosial,” tambah beliau.- Majestic

More From Author

Suami berpoligami tanpa izin isteri akan dijel 4 tahun

Jurulatih bola sepak ditahan, disyaki liwat remaja