Anggota polis tampar penunggang motosikal diburu

JOHOR BAHRU: Polis memburu seorang anggota yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara kerana dilaporkan menampar seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak di Taman Perling di sini.

Pemangku Ketua Polis Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, kejadian tersebut tular dalam media sosial dan siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 6.50 petang semalam.

“Individu yang terlibat dikenal pasti sebagai seorang anggota polis yang bertugas di IPD Johor Bahru Utara dan sedang menjalani cuti semasa kejadian berlaku.

“Setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian tersebut. Bagaimanapun pihak polis telah mengenal pasti mangsa yang terlibat dan sedang berusaha mengesan mangsa bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Pihaknya memandang serius sebarang dakwaan kesalahan atau salah lalu yang melibatkan pegawai atau anggota polis.

Sehubungan itu katanya, satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang, peraturan atau tatakelakuan yang telah ditetapkan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi isu ini dan kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat amat dialu-alukan.

“Pihak polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan berintegriti,” tambahnya.- Majestic

More From Author

‘Kawan jaga kawan’ usaha tangani kes buli di sekolah

Suami berpoligami tanpa izin isteri akan dijel 4 tahun