JOHOR BAHRU: Seorang gelandangan yang sering mengutip dan membakar sampah di merata tempat di kawasan Bandar Permas Jaya dan Senibong di sini sekali gus sering menimbulkan rasa kurang selesa masyarakat setempat sejak lima tahun lalu diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas menerima aduan orang awam.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Senibong, Habib Syed Sallilah Aasad berkata, sebelum ink pihaknya pernah mengajukan pengaduan beberapa kali kepada pihak berkaitan kehadiran gelandangan berkenaan.
Namun ujarnya, JKM sukar mengambil tindakan terhadapnya kerana lelaki berkenaan kerap ‘hilang dari radar’.

“Sejak kebelakangan ini kita menerima maklumat bahawa lelaki itu bebas mengumpul ratusan kotak lama di kawasan awam di sebuah pusat perniagaan di Bandar Permas Jaya di sini.
“Perbuatan lelaki ini bukan saja mencacatkan pemandangan malah menjejaskan keselesaan ramai.
“Pagi semalam saya bersama penguat kuasa JKM, anggota Balai Polis Permas Jaya dan wakil SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) meninjau lokasi pengumpulan kotak lama lelaki berkenaan.
“Lelaki itu didapati mengumpul ratusan kotak hingga menghalang laluan pengunjung ke premis perniagaan selain boleh menjejaskan perniagaan di situ,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menurutnya, gelandangan berusia 60-an berkenaan ditemukan di lokasi berkenaan dan mengakui menjalankan aktiviti mengumpul kotak lama bagi menyara hidup.
Warga emas itu memberi alasan menjalankan kegiatan tersebut selepas kehilangan kad pengenalan sejak lima tahun lalu.
“Dia menyatakan sebelum ini pernah bekerja di beberapa restoran termasuk di Singapura dan Johor.
“Kami menemukan ratusan kotak di lokasi itu dan pihak berkenaan membersihkan kawasan itu daripada kotak-kotak dengan menggunakan dua lori kecil,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan pula diselamatkan JKM bagi tindakan selanjutnya.
“Ia adalah antara usaha kami dan penduduk setempat bagi menyelesaikan masalah sampah haram, mencapai sifar gelandangan dan memastikan kawasan berkenaan bersih,” katanya.
Sementara itu, jurucakap JKM mengesahkan menyelamatkan lelaki berkenaan dan memaklumkan gelandangan tersebut merupakan warga tempatan.
“Selepas diselamatkan dia ditempatkan di sebuah pusat jagaan di Skudai dan lelaki berkenaan juga sudah dibawa ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memohon kad pengenalan ,” katanya.- Majestic
