BATU PAHAT: Graduan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diingatkan supaya menghindari budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd. Ali turut menasihatkan menolak amalan rasuah.
“Graduan perlu terus teguh mempertahankan prinsp fitrah insan dalam kehidupan, terutamanya ketika menghadapi pelbagai ideologi dan gaya hidup moden.
“Graduan perlu menjaga maruah diri dan keluarga, terutamanya dalam melangkah ke alam kerjaya dan kehidupan yang mencabar masa kini.
“Selain itu graduan juga perlu menghindiri diri daripada rasuah terutama ketika dalam kerjaya,” katanya pada Istiadat Konvokesyen UTHM ke-25, hari ini.

Tegasnya, graduan UTHM merupakan duta universiti dan perlu memepersiapkan diri dengan ilmu, kepakaran dan profesionalisme serta kemahiran insaniah yang tinggi, selaras dengan motto universiti ‘Dengan Hikmah Kita Meneroka.”
Katanya, rasuah walapun bermula dengan perbuatan yang kecil tetap berupaya mencemarkan rezeki.
“Perbuatan rasuah bakal memusnahkan amanah dan meruntuhkan masa depan dan graduan perlu amalkan prinsip intergriti walau di mana berada” katanya sambil menegaskan golongan graduan harus menjadi generasi profesional yang berani menolak rasuah.
Katanya, rezeki yang berkat lebih bernilai daripada kemewahan yang merugikan.
Dalam pada itu, Mas Fawzi turut meminta golongan mahasiswa dan graduan di tempat kerja menghentikan amalan buli.
Tegasnya, amalan buli sama ada secara fizikal, lisan psikologi atau siber adalah perbuatan insan yang tidak berilmu .
“Jadilah pelindung kepada mereka yang lemah dan bukan penindas. Di mana juga graduan melangkah, tanamkan budaya empati dan budaya belas kasihan.
“Graduan wajar menolak perkara yang merosakkan akhlak. Akhlak adalah benteng yang membezakan antara manusia beradap dan yang mengejar duniawi,” katanya.
Pada istiadat konvokesyen kali ini, seramai 4,915 graduan menerima skrol masing-masing, antara 142 graduan menerima ijazah doktor falsafah, 393 orang menerima sarjana, 3,610 orang mendapat ijazah sarjana muda dan 770 menerima diploma. – Majestic
